Selasa, 21 April 2009



KERACUNAN ROJAK GEYLANG SERAI
KES keracunan makanan melibatkan gerai rojak India di pasar sementara Geylang Serai agak serupa dengan kes yang berlaku pada 1983, yang berpunca daripada air daripada sotong mentah menitis dengan banyaknya ke dalam kuah rojak India yang tidak ditutup.
Walaupun pencemaran rojak India yang berlaku di Geylang Serai baru-baru ini belum dapat dipastikan dengan jelas, satu kenyatan bersama Kementerian Kesihatan (MOH) dan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) semalam melihat kes pada 1983 - yang juga melibatkan rojak India dari sebuah gerai di Geylang Serai - mempunyai banyak persamaan dengan kejadian terbaru itu.
Dalam kes keracunan makanan pada 1983 itu, 34 orang menjadi mangsa.
Siasatan pada tahun itu menunjukkan bahawa rojak India tersebut disiapkan di sebuah tempat tidak berlesen di Joo Chiat.

Semasa proses itu, air daripada sotong katak mentah menitis dengan banyak ke dalam kuah rojak India yang tidak bertutup yang diletak di rak bahagian bawah dalam peti sejuk.
Siasatan pada 1983 itu mengesahkan bakteria Vibrio Parahaemolyticus sebagai punca keracunan makanan itu.
Bakteria Vibrio Parahaemolyticus biasanya berkait dengan makanan yang dimakan mentah atau makanan laut yang tidak dimasak dengan betul.
Siasatan MOH dan NEA mengesahkan kes keracunan makanan terbaru itu juga disebabkan bakteria Vibrio Parahaemolyticus.
Siasatan makmal mengesahkan 13 daripada kes keracunan makanan itu disebabkan bakteria tersebut, termasuk mangsa pertama yang meninggal dunia.
Kenyataan itu juga berkata tiada sebarang sisa makanan dapat dikumpulkan untuk laporan mikrobiologikal kerana gerai rojak India itu telah membuang semua makanan dan kuah setelah mendapat banyak aduan.
Menurut kenyataan itu lagi, pihak NEA akan mengambil tindakan ke atas pemegang lesen gerai rojak India itu di bawah Aturan Kesihatan Sekitaran Awam (Kebersihan Makanan).
Sementara menantikan keputusan pendakwaan ke atas pemegang lesen itu di mahkamah, lesennya akan digantung.
Sejak kes keracunan makanan rojak India itu dilaporkan, seramai 154 orang menjadi mangsa.
Daripada jumlah tersebut, 48 mendapat rawatan wad di hospital.
Lima daripada mereka masih dirawat di hospital.
Dua daripada 48 mangsa yang dimasukkan ke hospital meninggal dunia setelah berada dalam keadaan koma.
Dalam pada itu, mangsa kes keracunan makanan melibatkan sebuah restoran stimbot di Lorong 9 Geylang meningkat kepada 19 orang.

0 Ulasan:

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama