Ahad, 29 Mac 2009

LEBIH 50 MAUT LEPAS EMPANGAN INDON PECAH 27/03/2009
Kejadian akibatkan banjir kilat yang turut musnahkan ratusan rumah
CIRENDEU (Indonesia): Hujan yang turun dengan lebat menyebabkan Empangan Situ Gintung di Cirendeu, Tangerang, di tenggara Jakarta pecah semalam.
Kejadian itu mengakibatkan banjir kilat yang mengorbankan 58 orang dan menenggelamkan beratus-ratus rumah, menurut para pegawai.

Berpuluh-puluh penduduk dilaporkan hilang selepas empangan pecah malam kelmarin ketika penduduk sedang tidur.
'Bencana ini berlaku secara tiba-tiba. Disebabkan penduduk sedang tidur, mereka tidak dapat menyelamatkan diri,' kata Encik Danang Susanto, seorang pegawai di pusat krisis Kementerian Kesihatan.
Beliau menganggarkan sehingga 500 rumah musnah atau tenggelam selepas empangan di pinggir Tasik Situ Gintung, Cirendeu, pecah. Di sesetengah tempat air banjir sedalam enam meter.
Ramai mangsa terkandas di atas bumbung rumah menunggu untuk diselamatkan.
Para pekerja penyelamat menggunakan rakit getah untuk bergerak di jalan-jalan raya yang kini menjadi sungai, dipenuhi serpihan puing, mayat, sandal dan kerusi meja.

'Saya benar-benar sedih,' kata Encik Cholik, 21 tahun, yang duduk menghadap mayat ibunya berusia 54 tahun.
Adik iparnya terkorban dan seorang anak saudaranya berusia setahun hilang.

'Saya tiada di rumah malam tadi. Saya sepatutnya berada di sini untuk menyelamatkan mereka,' katanya.

Beberapa mangsa yang terselamat berkata banjir itu macam tsunami kecil.
Paras air di sesetengah tempat cukup tinggi sehingga penduduk naik ke bumbung rumah menunggu untuk diselamatkan.
Tiang telefon tumbang dan kereta dihanyutkan; ada yang sejuah beratus-ratus meter dari tempat asal.

'Penduduk sedang dipindahkan. Separuh daripada mereka masih berada di atas bumbung rumah,' kata Encik Rustam Pakaya, yang mengetuai Pusat Krisis, Kementerian Kesihatan.

Menjelang petang, beratus-ratus mangsa berkumpul dekat Universiti Muhammadiyah yang kini dijadikan rumah mayat sementara.
Ramai mangsa menangis dan meraung sewaktu askar dan polis membawa mayat yang diisi di dalam kantung plastik berwarna putih.

Seorang pekerja ambulans Palang Merah, Encik Dedet Mulyadi, berkata ramai mangsa banjir luka akibat terkena puing dan ranting kayu.
Naib Presiden, Encik Jusuf Kalla dan Menteri Kebajikan, Encik Aburizal Bakrie, melawat kawasan bencana untuk memeriksa operasi menyelamat, lapor Metro TV.

Khamis, 5 Mac 2009

Hi kawan!
Cikgu kata dia dah puas merajuk. Dan dia akan beri test esok sebagai hadiah kepulangannya ke sekolah.
Test ini akan diambil oleh semua murid 1T, 3T dan 2NA. Siapa tidak hadir, cikgu akan 'rembat'.